ETIKA KEWARTAWANAN MENURUT ISLAM.

               Wartawan bermaksud individu yang ditugaskan untuk mendapatkan maklumat untuk disampaikan kepada khalayak. Daripada sudut pandangan Islam, wartawan bermaksud seorang pendidik, pendakwah dan pemimpin (Mashitah, 2009). Menjadi seorang wartawan perlulah mempunyai etika dan cara kerja yang betul yang harus di dokong dan diamalkan. Walaupun wartawan menghadapi kesukaran, kesusahan atau apa jua bentuk ujian dalam usaha mendapatkan kebenaran berita namun dalam Islam dianggap jihad dan diberi ganjaran oleh Allah S.W.T. jika sesuatu penyebaran mengikut syariahnya (Nik Yusri, 2009). Ini kerana Islam sebagai agama yang syumul sentiasa menganjurkan setiap umatnya mengamalkan cara hidup yang beretika serta mematuhi prinsip kehidupan Islam yang sebenar yang mencakupi setiap aspek kehidupan (Nor Adzrah, Suria Hani & Fauziah, 2012).

          Etika secara umumnya bermaksud moral, iaitu tentang kelakuan yang baik, kewajipan moral, sikap moral, tanggungjawab moral, keadilan sosial dan ciri-ciri kehidupan yang baik (Grassian, 1981). Dari segi etika berkaitan dengan kerja secara umumnya bermaksud tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Seseorang anggota perkhidmatan awam berkewajiban memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilaku seseorang pekerja dalam kerajaan (INTAN, 1991). Menurut Shukri dan Razali (2001), di dalam Islam, etika dilihat dalam dua fahaman yang berbeza iaitu fahaman rasionalisme yang diwakili oleh Mu’tazilah dan fahaman tradisionalisme yang diwakili oleh Asy’ariyah. Wujudnya perbezaan ini sukar untuk dinafikan kerana ianya terhasil daripada pengaruh Falsafah Greek ke dalam dunia Islam dan dalam masa yang sama disebabkan faktor narasi ayat-ayat alQur'an sendiri yang mendorong lahirnya perbezaan pentafsiran. Dapat dilihat, dalam al-Quran mesej beretika kebiasaannya menyelit isyarat-isyarat yang menuntut pentafsiran dan renungan oleh manusia.

           Etika Islam turut mempunyai jangkaan yang lebih jauh ke hadapan dengan dua (2) ciri utama. Pertama, etika Islam tidak menentang fitrah manusia. Kedua, etika Islam adalah sesuatu yang rasionalistik (Amin, 2002). Rafik (1998), telah menggariskan beberapa ringkasan parameter asas bagi sistem etika Islam iaitu:

a) Perbuatan dan keputusan dinilai sebagai etika bergantung pada niat individu. Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui niat kita secara menyeluruh.

b) Niat yang baik diikuti dengan perbuatan yang baik dikira sebagai amal ibadah. Niat yang halal tidak boleh menjadikan yang haram sebagai halal.

c)  Islam memberikan seseorang itu kebebasan untuk mempercayai dan berbuat Sesuatu yang ia kehendaki; tetapi ini tidak boleh melampaui batas-batas tanggungjawab dan keadilan.

d)  Percaya kepada Allah SWT memberikan individu kebebasan sepenuhnya daripada segala benda atau manusia kecuali Allah SWT.

e)  Keputusan yang menguntungkan majoriti atau minoriti tidak semestinya merupakan etika. Etika bukanlah sesuatu yang berkaitan dengan nombor atau jumlah.

f)  Islam menggunakan sistem pendekatan yang terbuka terhadap etika bukan sistem tertutup atau self-oriented. Egoisme tidak ada tempat di dalam Islam.

g)  Etika keputusan adalah berdasarkan pada pembacaan Al-Quran dan alam sejagat secara serentak.

h)  Tidak seperti sistem-sistem etika yang dianjurkan oleh kebanyakan agama lain, Islam menggalakkan manusia untuk melaksanakan tazkiyah melalui penyertaan yang aktif dalam kehidupan ini.

Dengan menepati etika dalam mengharungi ujian dunia, seorang Muslim dapat membuktikan ketaatannya kepada Allah SWT. Dalam mengkaji berkaitan tentang etika kerja kebiasaannya akan dikaitkan dengan organisasi. Salah satu organisasi yang dilihat penting kepada masyarakat iaitu organisasi media. Hal ini kerana ketetapan berita haruslah mendapat kebenaran. Ini kerana jika melihat daripada sudut Islam, etika kerja mestilah memainkan peranan yang penting bagi membuatkan masyarakat mempercayai ketetapan sesuatu isu. Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya “....(dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan dia tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan...”(Surah alBaqarah, 2:185).