PENGENALAN.


               Wartawan merupakan golongan profesional yang peranannya mampu untuk mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat melalui berita dan laporan. Oleh hal yang demikian, wartawan dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Sebagai golongan yang berpengaruh, wartawan perlu mempunyai etika dalam profesionnya untuk dijadikan peraturan dan panduan dalam menjalankan tugas harian dengan rasa disiplin dan penuh tanggungjawab.

         Pelbagai  definisi   berkaitan  etika diberikan oleh  para  sarjana mana mereka melihat   etika  sebagai  satu  cabang  ilmu falsafah  yang membantu menentukan pemilihan tingkah laku yang betul. Menurut Ahmad Amin (1983) beliau mengertikan etika adalah ilmu yang menjelaskan baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh manusia dan menyatakan tujuan di dalam perbuatan mereka manakala etika menurut pandangan Islam pula adalah apa yang dikatakan sebagai akhlak. Berdasarkan definisi etika berikut, dapat disimpulkan bahawa etika kewartawanan ialah adalah berlandaskan tanggungjawab dalam pemberitaan. Antara tanggungjawab utama wartawan ialah melaporkan berita secara adil, jujur dan tepat serta menghormat kerahsiaan maklumat. Ini merupakan aspek yang paling penting dalam profesion kewartawanan.

        Masyarakat mempunyai tanggapan wartawan sebagai satu kumpulan yang berusaha mencari dan menyebarkan maklumat kepada umum. Mereka sering bertungkus lumus dalam meneroka segala maklumat yang mempunyai nilai berita. Namun begitu, wartawan perlu mempunyai etika untuk menghindari berita yang bersifat perkauman, hasutan dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat. Untuk memenuhi keperluan inilah beberapa langkah atau pendekatan yang digunakan dalam profesion kewartawanan untuk mewujudkan suatu etika yang sesuai.